عن عمر بن الخطاب رضي الله عنه أن
رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: «لاَ تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتِ النَّصَارَى
عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ، وَلَكِنْ قُولُوا: عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ». [أخرجه
البخاري (رقم 3261)، ومالك، والطيالسي (رقم 24)، والحميدي (رقم 27)، وأحمد (رقم
154)، والدارمي (رقم 2784)، والعدني، والترمذي فى الشمائل (رقم 331)، وأبو يعلى
(رقم 153)، وابن حبان (رقم 6239)، وعبد الرزاق (رقم 20524)]
Sabda
Rasulullah SAW:
“Janganlah
kamu melampau-lampau memujiku sebagaimana kaum Nasrani melampau-lampau memuji
Isa ibn Maryam.”
(*lengkapnya:
…Tetapi katakanlah: hamba Allah dan rasul-Nya”)
Sebagian
orang memahami sabda Nabi SAW di atas dengan makna melarang daripada memuji
Baginda SAW. Mereka mengira perbuatan memuji Nabi SAW termasuk dalam perbuatan
yang melampau dan sikap berlebihan yang tercela dalam agama, yang boleh
mengakibatkan syirik. Mereka juga beranggapan, bahawa orang yang memuji Nabi
Muhammad SAW, mengangkat kedudukan Baginda SAW melebihi daripada manusia yang
lain, menyanjungnya dan menyifatkan Baginda SAW dengan apa saja yang
membezakannya daripada manusia yang lain, bererti telah melakukan bid’ah dalam
perkara agama dan menyanggahi Sunnah Penghulu segala Rasul SAW.
(*Banyak
qasidah dan selawat memuji Nabi SAW seperti Dala’il al-Khairat oleh Imam
al-Juzuli, Qasidah al-Burdah oleh Imam al-Busiri, Sa’adah al-Darain oleh Imam
al-Nabhani, Mawlid al-Barzanji dan lain-lain telah dilabel sebagai syirik atau
mengandungi unsur syirik oleh golongan Wahhabiyyah. Sedangkan amat jauh sekali
alim ulama ini dari melakukan perbuatan syirik. Wal-‘Iyazu biLlah…)
Ini
adalah pemahaman yang salah dan buruk serta menunjukkan kedangkalan pandangan
orang yang menilainya. Maksud sebenar hadits ialah Nabi Muhammad SAW melarang
memujinya secara keterlaluan sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Nasrani
terhadap Nabi Isa AS yang mengatakan bahawa Nabi Isa AS itu adalah anak Allah.
Adapun,
orang yang memuji Nabi SAW dan menyifatkannya dengan sifat-sifat yang tidak
terkeluar daripada hakikat kemanusiaan, di samping meyakini bahawa Baginda SAW
adalah hamba Allah dan utusanNya, dan menjauhi keyakinan dan kepercayaan kaum
Nasrani, maka sesungguhnya dia tidak disyaki lagi merupakan orang yang paling
sempurna tauhidnya. (*Maksud sebenar kalimah al-itra’ menurut alim ulama yang
menghuraikan hadis ini ialah puji-pujian melampau yang mengandungi perkara
dusta, bohong dan batil. Adapun puji-pujian yang tidak mengandungi
perkara-perkara dusta dan batil, malah ianya disaksikan oleh dalil-dalil aqli
dan naqli, maka ia tidak termasuk dalam makna hadis di atas. Inilah yang
difahami dan dipegang oleh alim ulama berkenaan)
Inilah
yang ditegaskan oleh Imam Busiri dalam Qasidah Burdahnya yang masyhur:
“Tinggalkan
cara orang Nasrani (Kristian) dalam menyanjung Nabi mereka (Nabi Isa AS)."
Artinya: Jangan katakan Muhammad SAW itu mempunyai sifat-sifat ketuhanan);
Selepas itu, terserahlah kepadamu untuk memuji Baginda SAW sesuka hati; Karena
keagungan Rasulullah SAW itu tiada keburukan baginya, lalu lidah dapat mengungkapkan
segala keistimewaannya dengan bahasa yang indah; Kemuncak pengetahuan mereka
tentang dirinya mereka hanya mampu mengatakan bahawa Baginda SAW itu seorang
manusia yang merupakan sebaik-baik makhluk Allah keseluruhannya.”
Jika
diperhatikan, perbuatan memuji Nabi SAW adalah sesuatu yang dilakukan oleh
Allah SWT sendiri seperti firmanNya:
“Dan
sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat mulia.” (Al-Qalam: 4).
Allah
juga memerintahkan supaya umat manusia sentiasa beradab bersama Nabi SAW; Allah
berfirman:
“Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suaramu melebihi suara
Nabi.” (al-Hujurat: 2)
Allah
SWT juga melarang kita daripada berurusan dan bergaul dengan Nabi SAW
sebagaimana kita berurusan dan bergaul sesama manusia yang lain, atau memanggil
Baginda SAW sebagaimana cara kita memanggil sesama kita.Allah SWT berfirman:
“Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah SAW di antara kamu
seperti seruan atau panggilan sesama kamu.” (al-Nur: 63)
Allah mencela
orang-orang yang menyamakan Rasulullah SAW dengan yang lain dalam pergaulan dan
tatatertib. Allah berfirman:
“Sesungguhnya orang-orang yang memanggilmu dari
luar bilik-bilik (tempat ahlimu, wahai Muhammad!), kebanyakan mereka tidak
mengerti (adab dan tata tertib).” (al-Hujurat: 4)
Para
sahabat yang mulia sering memuji Rasulullah SAW dan Baginda SAW menunjukkan
ridhonya kepada perbuatan tersebut. Antara mereka ialah Hasan ibn Tsabit RA
yang terkenal sebagai penyair Nabi SAW. Antara pujian beliau:
“Allah
telah menghimpunkan nama Nabi SAW kepada namaNya, ketika muazzin melaungkan
lafaz “Asyhadu” di dalam azan bagi menandakan masuk waktu solat lima waktu;
Allah menerbitkan nama Baginda SAW dari namaNya. Maka pemilik ‘Arasy ialah
Mahmud (Allah) dan inilah Muhammad SAW”
Ini
pula Ka’ab ibn Zuhair memuji Rasulullah SAW dengan qasidahnya yang terkenal:
“Sesungguhnya
Rasulullah SAW adalah cahaya yang menerangi, bagaikan pedang tajam dari India,
dari pedang-pedang Allah yang terhunus; Di dalam kelompok bangsa Quraisy telah
berkata juru cakap mereka di tengah-tengah Makkah, setelah mereka memeluk Islam
maka berhijrahlah mereka (ke Madinah); Mereka berjalan laksana pahlawan yang
berani. Apabila ditentang musuh kafir Quraisy mereka tidak gentar.”
Di
dalam riwayat Abu Bakar ibn al Anbari menyatakan bahawa Rasulullah SAW
melemparkan selendang yang berada di tubuhnya kepadanya. Mu’awiyah hendak
membayar sebanyak 10,000 kepada Ka’ab RA untuk mendapatkan selendang tersebut.
Maka beliau berkata: “Tidaklah aku mendahulukan sesuatupun daripada Rasulullah
SAW.” Apabila Ka’ab RA meninggal dunia, Mu’awiyah menghantar kepada warisnya
sebanyak 20,000, lalu dia mengambil selendang tersebut daripada mereka.
Rasulullah
SAW ada memuji dirinya sendiri dalam banyak hadith bukan bertujuan bermegah
tetapi sebagai mengajar kita mengenal hakikat dirinya. Antaranya,
Baginda
SAW bersabda: “Aku adalah sebaik-baik golongan kanan (yang beruntung mendapat
nikmat syurga).” “Aku adalah sebaik-baik golongan yang lebih dahulu memasuki
syurga.” “Aku adalah anak Adam yang paling bertaqwa dan mulia di sisi Allah,
tidaklah aku bermegah-megah dengannya.” (riwayat Al-Tabrani dan al-Baihaqi
dalam Dala’il)
“Aku
adalah manusia yang paling mulia di antara manusia-manusia yang terawal dan
terakhir dan tidaklah aku bermegah-megah dengannya.” (riwayat al-Tirmizi dan
al-Darimi) (*Nabi SAW juga memerintahkan umatnya: “Tidak beriman seseorang kamu
sehinggalah aku ini lebih dicintai olehnya lebih daripada bapanya, anaknya dan
juga manusia seluruhnya” – HR al-Bukhari dan Muslim)
Di
dalam hadits Abu Sa’id RA berkata: Sabda Rasulullah SAW:
“Aku
adalah penghulu anak Adam pada hari Kiamat; dan tidaklah aku berbangga-bangga
dengannya. Di tanganku terdapat Liwa’ al Hamdi (bendera yang dipuji); aku juga
tidak bermegah-megah dengannya. Tidak ada seorang Nabi pun pada hari itu
(Kiamat); baik Adam mahupun yang lain, kecuali semuanya berada di bawah naungan
benderaku. Aku juga orang pertama yang dibongkarkan dari bumi dan tidaklah aku
berbangga dengannya.” (Riwayat al-Tirmizi, Hasan Sahih)
Jibril
AS juga ada memuji Baginda SAW.
Antaranya:
“Aku telah membalik-balikkan timur dan barat dunia, tetapi aku tidak pernah
lihat seseorang yang lebih mulia daripada Muhammad SAW, dan aku juga tidak
pernah lihat keturunan yang lebih mulia daripada keturunan Bani Hasyim.”
(riwayat al-Baihaqi, Abu Nu`aim dan al-Tabrani).
Kesimpulannya,
memuji Nabi SAW adalah sesuatu amalan yang terpuji dan digalakkan. Ia adalah
sesuatu yang tidak terpisah dengan kewajiban mengasihi Baginda SAW. Adapun
larangan dalam sepotong hadith yang disebut di awal tadi, ia perlu difahami
dengan tepat. Ia bukanlah larangan untuk kita memuji Nabi SAW dengan pujian
yang tinggi dan agung tetapi membataskannya agar tidak melangkaui batas Khaliq
dan Makhluq. (*Setengah golongan yang membataskan definisi mencintai Nabi SAW
kepada hanya sekadar mengikuti sunnahnya, tidak termasuk zat diri baginda,
hakikat sebenar mereka tidaklah sepenuhnya mereka mengikut sunnah baginda.
Lihat bagaimana Sayidina ‘Umar RA berkata kepada Baginda Nabi SAW: “Ya
Rasulullah, sungguh engkau adalah yang paling aku cintai lebih dari
segala-galanya kecuali daripada diriku sendiri”. Lantas balas baginda: “Tidak,
demi yang jiwaku di tangan-Nya, sehinggalah aku ini lebih engkau cintai
daripada dirimu sendiri”. Lalu kata ‘Umar: “Maka ianya mulai saat ini, demi
Allah, sungguh engkau adalah yang paling aku cintai daripada diriku sendiri”.
Maka balas Nabi SAW: “Baru sekarang (betul), wahai ‘Umar” (HR al-Bukhari).
Jelas bahawa hakikat mencintainya itu adalah termasuk mencintai zat diri
baginda).
اللهم
صلّ وسلّم وبارك علـــــــــــــــــــــــــــــــيه
Tidak ada komentar:
Posting Komentar